Archive for the ‘Menjaga hati dari sifat sombong’ Category

Menjaga hati dari sifat sombong

Februari 17, 2008
Assalammu’alaikum waramatuhllahi wabarakahtuh

Menjaga hati dari sifat sombong

Ikhwani yang dirahmati oleh ALLAH, hati adalah penghulu seluruh
anggota. Di dalam hati itulah tersimpan semua asas akidah, akhlak,
niat baik dan niat yang tidak baik. Selagi hati itu belum dibersihkan
( disucikan ) dari sifat-sifat buruk dan tercela, serta menghiasinya
dengan sifat-sifat yang baik dan terpuji, maka kita tidak akan
merasakan kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat.

Allah SWT berfirman dalam Surah Asy-Syams Ayat 7 hingga 10 :
” Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan
kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);
Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya
kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa;
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia
bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),
Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang
sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya ( dengan sebab
kekotoran maksiat ). “

Banyak akhlak dan sifat-sifat yang tercela yang seharusnya kita
hindarkan dari hati. Diantara penyakit-penyakit hati yang berbahaya
ialah sifat sombong.

Sifat ini adalah sifat yang dimiliki oleh syaitan yang terkutuk.
Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 34 :
” Dan ( ingatlah ) ketika kami berfirman kepada malaikat : Tunduklah
( beri hormat ) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk
memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan
menjadilah dia dari golongan yang kafir. “

Allah membenci hamba-hambaNya yang sombong sebagaimana
firmanNya dalam Surah Al-Nahl Ayat 23 :
” Sebenarnya, bahawa Allah mengetahui akan apa yang mereka
sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Dia tidak
suka kepada orang-orang yang sombong takbur. “

Dalam surat Luqman 18, Allah juga berfirman :
” Dan janganlah engkau memalingkan mukamu ( kerana memandang
rendah ) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi
dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada
tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. “

Rasulullah SAW pun bersabda :
” Tidak akan masuk syurga orang yang di hatinya terdapat sebesar
atom dari sifat sombong. “

Al-Imam Abdullah bin Alwi Al-Haddad mengatakan bahawa sifat
sombong itu senantiasa terpendam di dalam hati, tetapi ia memiliki
tanda-tanda yang dapat dikenali oleh orang, di antara tanda-

tandanya iaitu :

1. Merasa bangga melihat dirinya maju ( berjaya ) lebih dari orang
lain.
2. Suka menonjolkan diri terhadap orang lain.
3. Bila menghadiri majlis, minta dikedepankan.
4. Jika berjalan, bersikap angkuh.
5. Membantah bila ditegur orang lain, meskipun ia salah.
6. Tidak mengindahkan nasihat.
7. Suka menindas orang yang miskin dan lemah.
8. Selalu menganggap dirinya benar dan tidak pernah salah.
9. Suka memuji-muji diri sendiri.

Ikhwani, seandainya kita menjadi orang yang paling bertakwa kepada
ALLAH serta memiliki ilmu yang luas dan amat banyak amal
ibadahnya, kemudian kita menyombongkan diri terhadap orang lain
dan membanggakan diri atas kelebihan-kelebihan yang kita miliki,
nescaya ALLAH akan menghapus ketakwaan kita dan membatalkan
ibadah yang telah kita lakukan.

Apalagi kalau yang sombong itu orang yang jahil ( bodoh ). Lebih-
lebih orang yang menyombongkan diri dengan ketakwaan dan
kesholehan datuk-datuknya, sedangkan dia sendiri tidak beramal,
maka itu adalah kebodohan yang luar biasa.

Kawan, seluruh kebaikan berada dalam sifat rendah diri, khusyu’,
dan tunduk kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda :
” Barangsiapa yang merendahkan diri, nescaya Allah akan
mengangkatnya, dan barangsiapa yang menyombongkan diri, nescaya
Allah akan merendahkannya. “

Suka berdiam diri dan bersembunyi, serta tidak suka kemasyhuran /
” popular “, adalah sifat orang-orang mukmin yang sholeh.

Wallahu’alam bisshawab.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.