Archive for the ‘Orang Gila Jadi Bisu’ Category

Orang Gila Jadi Bisu

Februari 12, 2008
“Allah telah menciptakanmu dalam bentuk yang paling bagus”
(Surah At-Taghabun : 3)
artikel dari sebuah laman web, menarik kisah ni :
………… ……… ……… …..
Kira-kira tiga tahun lalu, anak buah saya sedang duduk di kedai saya bersama saya. Sebagaimana biasa, anak buah saya itu berbincang dengan saya banyak perkara mengenai Islam, dan dia selalu menemani saya berceramah ke serata negara. Satu perkara yang perlu saya catat di sini, dia juga selalu membawa Tafsir ke mana-mana, dan selalu membaca Tafsir Al-Qur’an bila saja ada kesempatan. Itu adalah satu perkara yang amat bagus untuk dia lakukan. Beruntunglah kerana ketika itu dia pun masih muda dan masih bujang.

Semasa duduk itu, dia telah membuka Tafsir secara spontan, kemudian dia bacakan ayat-ayat itu pada saya:

“Nabi Zakaria berkata: Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?, Allah berfirman: Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya. ” (Surah Ali-‘Imran 003:40).

“Nabi Zakaria berkata lagi: Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung). Allah berfirman: Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi.” (Surah Ali-‘Imran 003:41).

Saya dan dia pun berbincang mengenai kekuasaan Allah, bahawa Allah berkuasa melakukan apa-apa yang pada adatnya dianggap mustahil oleh manusia. Hinggakan Nabi Zakaria a.s. (seorang nabi) pun bertanya kepada Allah sama ada dia boleh mendapat zuriat atau tidak. Tapi Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Sedangkan Nabi Adam a.s. dijadikanNya tanpa ibu tanpa bapa. Sedangkan Nabi Isa a.s. dijadikanNya tanpa bapa, hanya ada Maryam, seorang gadis suci yang tidak pernah ternoda. Inikan pula jika masih ada ibu dan bapa, ianya amat mudah bagi Allah.

Tidak lama selepas itu, datanglah sepupu saya, Mansur (bukan nama sebenar, dia ini sakit jiwa, sejak berpuluh tahun lampau). Dia datang dari mana tidaklah saya perasan. Dia berdiri di pintu kedai, hampir dengan saya. Kemudian dia pun menggerakkan tangan-tangannya memberi isyarat yang berbagai-bagai. Saya pun tidak faham apa yang dia mahu sampaikan. Sebenarnya Mansur bukan bisu. Setiap kali dia datang jumpa saya, dia akan berkata “Nak duit RM10, aku nak makan.” Perkataan itu sudah jadi ‘trademark’ dia bila saja berjumpa saya. Hinggakan pada satu hari, saya cuba berjenaka padanya. Bila saya nampak saja dia datang, saya pun terus berkata “Ha, eloklah kau datang, beri aku duit RM10, aku nak makan.” Dia tergamam, dan pada hari itu dia tidak minta duit pada saya.

Berbalik pada Mansur yang tiba-tiba jadi bisu itu. Saya dan anak buah saya yang memperhatikannya sejak tadi hanya tercengang. Saya pun tidak bercakap sepatah pun, entah kenapa saya pun sukar untuk jelaskan. Kemudian saya pula beri isyarat tangan kepadanya, isyarat bahawa saya tidak faham apa yang dia mahu sampaikan. Dia beri beberapa isyarat lagi, kemudian dia berlalu dari situ. Saya masih tidak faham. Pada hari itu dia langsung tidak berkata “Nak duit RM10, aku nak makan.” Malah sekelumit suara pun tidak keluar dari mulutnya.

Setelah dia pergi, saya senyum sambil memperhatikan anak buah saya. Dia terbeliak dan tangannya memberi isyarat tanda dia tidak faham apa yang sedang berlaku. Di masa itu barulah saya berkata kepadanya “Bacalah semula ayat tadi itu. Sebenarnya Allah nak tunjukkan kepada kita bagaimanakah keadaan Nabi Zakaria ketika dia tidak boleh berkata-kata. ” Anak buah saya pun senyum kembali. Mungkin dia sudah faham.

Benarkah Mansur yang datang tadi? Wallahua’lam. Saya pun tidak periksa atau tanya pada Mansur adakah benar dia yang datang sebagai orang bisu itu sebab bila saja dia jumpa saya, dia akan berkata “Nak duit RM10, aku nak makan.” Ini membuatkan saya fikir eloklah saya tidak bertanya. Tapi saya jadikan kisah itu sebagai kisah yang tidak akan saya lupakan sepanjang hayat saya. InsyaAllah.

BUKTI DARI SEGALA UFUK-UFUK

Bersyukurlah kita jika kita lahir dalam keluarga Islam dan terus hidup sebagai Muslim sejati hingga ke akhir hayat kita. Kalau kita lahir dalam keluarga bukan Islam, mungkin Islam ini agak jauh sedikit dari kita, dan hidayahNya lah yang akan membawa kita kepada Islam. Namun, kalau kita lahir dalam keluarga Islam, janganlah pula kita menjauhkan diri dari Islam itu sendiri, atau menjauhkan diri dari Al-Qur’an. Setiap masa kita perlu ingat pada Allah, setiap masa kita perlu fikir tentang kebesaran Allah dan mengakui kebesaranNya.



Real people. Real questions. Real answers. Share what you know.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.