Archive for the ‘Luahkan Sebelum Terlambat’ Category

Luahkan Sebelum Terlambat

Februari 25, 2008

Kisah ini tentang seorang gadis yang jatuh hati pada teman baiknya
yang boleh berkongsi suka dan duka.

Kita gelarkan mereka sebagai Adam dan Farah. Bagaimanapun, Farah
tidak pernah meluahkan perasaannya itu, bimbang persahabatan mereka
yang sedia terjalin, akan tercalar dengan pengakuan itu.

Pada suatu hari, Adam mendatangi Farah dengan satu dilema. Adam
meminati seorang gadis dan meminta pendapat Farah, sama ada dia
harus menghantarnya satu kad ucapan. Hati Farah hancur berkecai
tetapi dia sembunyikannya. Baginya, kebahagiaan kawan adalah
kebahagiaannya jua.

“Adam rasa, dia suka Adam tak?” tanya Farah. “Adam tak pasti,
tetapi… mungkin juga,” jawab Adam. “Adakah Adam pasti dia belum
berpunya?” tanya Farah lagi sambil di dalam hatinya berdoa si gadis
pujaan Adam sudah mempunyai teman istimewa. Adam menjawab: “Belum.”

“Kalau macam tu, teruskan. Itu cara terbaik untuk mengetahui sama
ada dia juga sukakan Adam. Lagipun, siapalah yang mampu menolak
lelaki seperti Adam,” ujar Farah cuba bergurau dan menyembunyikan
perasaannya. Selepas itu, Farah cuba mengorek lebih lanjut daripada
teman-temannya dan Adam, siapakah gadis bertuah itu tetapi hampa.

Beberapa hari kemudian, Adam datang lagi. “Perlukah saya membelinya
sejambak bunga?” “Ya, Farah tidak pernah terjumpa mana-mana
perempuan yang tidak sukakan bunga!’ “Bunga apa yang patut Adam
berikan?” “Bergantung, kepada apa?” “Bergantung kepada apa jenis
bunga yang dia sukakan dan berapa banyak wang yang Adam ada.” “Adam
tak kisah tentang duit.”

“Kalau begitu, belikan dia bunga mawar merah, penjual bunga tentu
tahu apa maksudnya.” “Adakah penjual bunga boleh mengirimkannya
bersama kad ucapan?” “Ya.” “Kenapa Adam tidak memberikannya
sendiri.” “Tak boleh.” “Kenapa pula?” “Adam takut dia tidak sukakan
Adam.” Farah menjadi bertambah sedih.

Pada suatu hari, ketika sedang mengemas rumahnya, seseorang telah
mengetuk pintu. Sebaik pintu dibuka, seorang lelaki penghantar
berdiri bersama sejambak bunga mawar merah yang dikepilkan bersama
sebuah kad ucapan. Kad itu berbunyi:

“Sudah lama Adam tertarik pada Farah (lelaki mana yang tidak
tertarik pada Farah, bukan?) Namun, semakin kita menjadi akrab, Adam
dapat melihat kecantikan dalaman Farah sebagaimana kecantikan
luaran. Perasaan Adam menjadi lebih mendalam, melebihi seorang kawan
tetapi Adam bimbang untuk berterus terang.

“Adam menghargai persahabatan kita lebih dari segala-galanya tetapi
Adam mahu Farah tahu, apa yang Adam rasai di dalam. Sekiranya Farah
tidak merasakan apa yang Adam rasai, Adam sesungguhnya mengerti.
Adam harap, kita masih boleh terus menjadi teman karib dan Adam
berjanji, tidak akan membangkitkan perkara ini lagi. Seolah-olah,
ini semua tidak pernah berlaku dalam hidup kita, okey? Hubungi Adam.
Adam mahu tahu, apa pendapat Farah.”

Sudah tentu Farah terus menghubungi Adam dan sejak itu mereka
menjadi pasangan sahabat, kekasih dan suami isteri yang bahagia
sehingga kini. Jadi saudara, hidup ini terlalu singkat untuk kita
menerawang dan tertanya-tanya apa yang orang lain fikirkan tentang
kita. Pejam mata, tetapkan pendirian dan `go for it’.

Dikirim oleh: “syazie1979”

Advertisements